Don't be afraid of OPPOSITION.

Remember, a kite rises against not with the wind.

Wednesday, January 30, 2013

Pemuda MIC P.Pinang ada bukti Ahli MPPP terlibat rasuah



PULAU PINANG 19 Jan. 2013 – Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang, J. Dhinagaran mencabar Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong supaya meletak jawatan sekiranya Pemuda MIC berjaya membuktikan dakwaan ada ahli MPPP terlibat dengan rasuah.

Katanya, dia mempunyai bukti kukuh antaranya cakera padat yang mengandungi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah seorang wanita yang menjalankan perniagaan kitar semula.
Menurut beliau, ketika pendedahannya minggu lepas tidak ada nama mana-mana ahli MPPP disebut, malah pendedahan itu sekadar menasihatkan ahli majlis yang terlibat agar mengembalikan wang kepada wanita tersebut.

Susulan pendedahan itu dakwa Dhinagaran, ahli MPPP yang berkaitan sudah memulangkan wang yang diterima dari wanita tersebut, melebihi jumlah yang diterima sebanyak RM25,000.
“Saya tidak akan bersuara jika tidak ada bukti. Oleh itu, saya cabar dia (Ah Teong) meletakkan jawatan sebagai ahli MPPP jika saya berjaya membuktikan bahawa salah seorang ahlinya terlibat dengan rasuah yang diberikan peniaga wanita itu.

“Sepatutnya dia (Ah Teong) berbincang dengan rakan-rakannya bagi mengenal pasti siapa ‘kambing hitam’ di kalangan mereka, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Dato Keramat di sini hari Sabtu (19 Jan).

Dhinagaran memberitahu, dia sedia berhadapan dengan sebarang tindakan undang-undang memandangkan mempunyai bukti kukuh dalam bentuk rakaman CCTV dan lain-lain bukti sokongan yang secara jelas membuktikan wujudnya perlakuan rasuah.

No comments:

Post a Comment